Friday, 11 November 2011

SASTERA TRADISIONAL WARISAN BANGSA

           
                 Masyarakat hari ini begitu ghairah memburu kejayaan.Kejayaan demi kejayaan diraih sebagai lambang kegemilangan bangsa yang cuba menandingi kemajuan bangsa-bangsa lain di dunia. Kita cuba tersenyum megah denbgan kejayaan tersebut,tetapi wajarkah kita melangkah dengan mendongak ke atas tanpa  cuba menoleh ke belakang memikirkan semula sejarah dan warisan bangsa yang kelihatan begitu tersamar-samar?Umpamanya ,karya-karya sastera tradisional yang sebenarnya merupakan lambang kemegahan bangsa kurang mendapat tempat di hati masyarakat.Karya-karya ini terbahagi kepada dua jenis,iaitu prosa tradisional yang terdiri daripada cerita binatang,cerita jenaka,cerita-cerita hikayat,dan sebagainya dan juga puisi tradisional seperti pantun,syair,gurindam,seloka dan sebagainya.

                 Karya-karya sastera tradisional sebenarnya sarat dengan unsur pengajaran yang wajar dijadikan teladan dan iktibar oleh generasi masa kini.Karya-karya ini memang`tidak lapuk de hujan,tidak dek panas' kerana karya-karya seperti ini memang dinobatkan sebagai karya warisan sepanjang zaman.Biarpun zaman bertukar dan masa beredar,namun unsur isi dan unsur pengajaran yang terkandung di dalamnya tidak ketinggalan zaman.Hal ini demikian kerana sikap dan perlakuan manusia jarang-jarang berubah dan gambaran yang hampir sama boleh dilihat dalam setiap masyarakat tanpa mengira masa,zaman,ataupun tempat. Oleh yang demikian,karya-karya sastera tradisional ini wajar diterapkan ke dalam diri setiap individu dan seterusnya mencorakkan sahsiah generasi muda.

                 Sebenarnya,`jika tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya'.Usaha yang lebih komprehensif perlu dilakukan untuk mendekatkankarya-karya sastera tradisional ini kepada masyarakat.Tidak semua orang mengenali karya-karya tradisional seperti guridam,seloka,nazam dan sebagainya jika pihak yang berpengetahuan dan berkemahiran tidak tampil ke depan untuk memperkenalkan setiap karya dengan lebih menyeluruh.Seterusnya,setakat kenal sahaja tidak mencukupi,tetapi inisiatif agar masyarakat memahami dan menghayati karya-karya ini perlu dilaksanakan.Umpamanya,bantuan boleh dihulurkan oleh sasterawan-sasterawan terkenal tanah air,di samping persatuan-persatuan penulis untuk mengetengahkan karya-karya ini ke pangkuan masyarakat.Pertunjukan atau persembahan bulanan karya-karya ini boleh dilakukan di pentas-pentas terbuka ataupun semasa diadakan pesta atau konsert.

                 Ada pihak yang telah menjalankan kerja -kerja penulisan semula karya-karya satera tradisional ini sejak dahulu lagi.Umpamanya,karya-karya prosa tradisional seperti Sejarah Tanah Melayu,Hikayat Awang Sulung Merah Muda,cerita -cerita binatang,cerita-cerita jenaka dan sebagainya telah dibukukan.Malangnya berapa ramaikah anatara kita yang menyimpan karya- karya agung ini dan meletakkanya di ruang buku kita?Anak-anak kita lebih menghargai Doraemon daripada Pak Kaduk,Pak Pandir mahupun Hang Tuah sendiri sedangkan watak-watak seperti Hang Tuah merupakan lambang kemegahan bangsa yang tiada tolok bandingannya.Publisiti meluas dan promosi secara besar-besaran boleh membawa karya-karya sastera tradisional ini kepada masyarakat.Langkah ini  boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

                 Di samping itu, kerja -kerja penyelidikan dan kajian secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap karya-karya sastera ini. Pemahaman dan penghayatan karya sastera adalah lebih jelas dan sempurna dengan ini.Masyarakat akan membuka minda dan ruang kehidupan mereka untuk melihat karya-karya ini sebagai karya agung sepanjang zaman tanpa mengetepikan arus pembangunan.Akhirnya,minat dan kecenderungan masyarakat semakin terserlah dan penghargaan terhadap karya -karya ini lahir daripada hati nurani mereka terpaksa.Generasi yang datang akan mendapat manfaat dan memikul mandaat untuk meneruskan tradisi bangsa turun-temurun.

                Kesimpulannya,walaupun zaman semakin maju dan canggih, namum karya-karya sastera tradisional tidak wajar diketepikan.Ruang yang istimewa perlu untuk menempatkan karya-karya ini agar sentiasa dihargai dan menjadi sanjungan masyarakat.Hal ini demikian kerana karya-karya ini juga merupakan sebahagian daripada sejarah bangsa yang wajar dijadikan panduan dan pengajaran buat kita.Karya-karya ini sesungguhnya menjadi lambang kesinambungan kewujudan bagsa yang bernaruah dan berprestij untuk selama-lamanya.

KESAN-KESAN DARIPADA LANGKAH KERAJAAN MENGURANGKAN PENGHANTARAN PELAJAR KE LUAR NEGARA DISEBABKAN BANYAK INSTITUT IPTA DAN IPTS.

                Pada masa ini,peluang untuk rakyat negara ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terbuka lebih luas.Keadaan ini wujud kerana semakin banyak institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditubuhkan oleh kerajaan.Kerajaan juga menggalakkan pihak-pihak swasta menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta(IPTS).Galakan kerajaan itu menyebabkan banyak ipts wujud di negara kita bagai cendawan turun selepas hujan.Faktor ini mendorong kerajaan untuk menngurangkan penghantaran pelajar ke luar negara.Tidak dinafikan bahawa langkah kerajaan ini menimbulkan beberapa kesan baik dan kesan buruk.

                Oleh sebab negara kita masih belum pulih sepenuhnya daripada kegawatan ekonomi yang berlaku sejak penghujung tahun 1997,langkah yang diambil ini sekurang-kurangnya dapat membantu kerajaan menjimatkan wang.Kita sedia maklum,kos pembelajaran di luar negara bukannya murah.Bagi setiap pelajar,kerajaan perlu menanggung kos pengajian dan sara hidup sehinggalah pelajar itu menamatkan pengajiannya.Dianggarkan kos untuk membiayai seorang pelajar di luar negara adalah sama dengan kos yang dibelanjakan untuk membiayai lima orang pelajar di dalam negara.Kerajaan mengalami kerugian sekiranya membiarkan wang mengalir ke luar negara atas perkara yang boleh didapati di negara sendiri.

               Sekiranya institusi pengajian tinggi di luar negara mengalami  kerugian akibat tindakan kerajaan itu,namun pada masa yang sama ,institusi pengajian tinggi tempatan akan mendapat keuntungan.Keuntungan itu bukanlah dari segi kewangan.Keuntungan itu didapati kerana institusi pengajian tinggi tempatan akan menerima kemasukan ramai pelajar yang cemerlang.Kecemerlangan pelajar-pelajar itu pasti dapat membantu institusi pengajian tinggi meningkatkan mutu pencapaian,terutamanya dari segi akademiknya.Tenaga pengajar juga pasti akan berusaha meningkatkan kepakaran dan pengetahuan mereka sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang cemerlang.Akhirnya,imej institusi pengajian tinggi tempatan pasti akan menjulang tinggi di peringkat antarabangsa.
 
                Pada masa ini,negara kita berhadapan dengan pelbagai masalah sosial di kalangan golongan muda.Banyak pihak mempersalahkan unsur-unsur negatif dari luar negara yang menyebabkan masalah ini timbul.Oleh itu,langkah kerajaan ini dapat dilihat sebagai satu usaha untuk mengelakkan golongan muda negara kita darida terjebak dengan unsur-unsur negatif yang terdapat di luar negara.Unsur-unsur itu,sama ada dari segi pemikiran,budaya,atau politik.Kita tidak dapat menafikan bahawa mereka yang terpilih untuk dihantar ke luar negara memiliki prestasi yang cemerlang dari segi akademik.Namun,kita juga perlu ingat bahawa mereka masih muda dan belum matang lagi untuk berfikir.Kedua-dua aspek ini akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh merugikan diri sendiri.

                 Namun,langkah kerajaan itu juga mempunyai beberapa kesan buruk.Langkah mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara bermakna semakin kurang peluang untuk meneroka ilmu pengetahuan baru yang terdapat di luar negara.Kita tidak boleh menafikan bahawa negara-negara barat serta Jepun dan Korea Selatan merupakan gedung ilmu pengetahuan.Banyak ilmu pengetahuan yang terkini dan moden telah diterokai oleh sarjana di negara-negara tersebut,terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.Alangkah ruginya negara kita kerana tidak dapat memiliki dan menguasai ilmu tersebut kerana langkah yang diambil itu.Sudah pasti jika ilmu-ilmu itu dikuasai,status negara maju akan dapat dicapai dengan lebih cepat.

                  Selain itu,langkah kerajaan ini pasti akan memberikan kesan kepada pelajar-pelajar yang sederhana pencapaian akademiknya.Jika selama ini mereka bersaing sesama sendiri untuk memasuki institusi pengajian tinggi tempatan,tetapi sekarang mereka telah ada pesaing baru,iaitu pelajar- pelajar lebih cemerlang untuk menjadi warga kampus mereka.

                 Kesimpulannya,langkah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara mempunyai kesan yang baik dan sebaliknya.Kerajaan perlulah memikirkan langkah tersebut dengan sedalam-dalamnya supaya tindakan itu tidak merugikan negara pada masa hadapan.Langkah tersebut dalam jangka masa pendek memang menguntungkan,tetapi dalam jangka masa panjang,langkah itu pasti sedikit banyak akan memberikan kesan kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.