Pada masa ini,peluang untuk rakyat negara ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terbuka lebih luas.Keadaan ini wujud kerana semakin banyak institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditubuhkan oleh kerajaan.Kerajaan juga menggalakkan pihak-pihak swasta menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta(IPTS).Galakan kerajaan itu menyebabkan banyak ipts wujud di negara kita bagai cendawan turun selepas hujan.Faktor ini mendorong kerajaan untuk menngurangkan penghantaran pelajar ke luar negara.Tidak dinafikan bahawa langkah kerajaan ini menimbulkan beberapa kesan baik dan kesan buruk.
Oleh sebab negara kita masih belum pulih sepenuhnya daripada kegawatan ekonomi yang berlaku sejak penghujung tahun 1997,langkah yang diambil ini sekurang-kurangnya dapat membantu kerajaan menjimatkan wang.Kita sedia maklum,kos pembelajaran di luar negara bukannya murah.Bagi setiap pelajar,kerajaan perlu menanggung kos pengajian dan sara hidup sehinggalah pelajar itu menamatkan pengajiannya.Dianggarkan kos untuk membiayai seorang pelajar di luar negara adalah sama dengan kos yang dibelanjakan untuk membiayai lima orang pelajar di dalam negara.Kerajaan mengalami kerugian sekiranya membiarkan wang mengalir ke luar negara atas perkara yang boleh didapati di negara sendiri.
Sekiranya institusi pengajian tinggi di luar negara mengalami kerugian akibat tindakan kerajaan itu,namun pada masa yang sama ,institusi pengajian tinggi tempatan akan mendapat keuntungan.Keuntungan itu bukanlah dari segi kewangan.Keuntungan itu didapati kerana institusi pengajian tinggi tempatan akan menerima kemasukan ramai pelajar yang cemerlang.Kecemerlangan pelajar-pelajar itu pasti dapat membantu institusi pengajian tinggi meningkatkan mutu pencapaian,terutamanya dari segi akademiknya.Tenaga pengajar juga pasti akan berusaha meningkatkan kepakaran dan pengetahuan mereka sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang cemerlang.Akhirnya,imej institusi pengajian tinggi tempatan pasti akan menjulang tinggi di peringkat antarabangsa.
Pada masa ini,negara kita berhadapan dengan pelbagai masalah sosial di kalangan golongan muda.Banyak pihak mempersalahkan unsur-unsur negatif dari luar negara yang menyebabkan masalah ini timbul.Oleh itu,langkah kerajaan ini dapat dilihat sebagai satu usaha untuk mengelakkan golongan muda negara kita darida terjebak dengan unsur-unsur negatif yang terdapat di luar negara.Unsur-unsur itu,sama ada dari segi pemikiran,budaya,atau politik.Kita tidak dapat menafikan bahawa mereka yang terpilih untuk dihantar ke luar negara memiliki prestasi yang cemerlang dari segi akademik.Namun,kita juga perlu ingat bahawa mereka masih muda dan belum matang lagi untuk berfikir.Kedua-dua aspek ini akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh merugikan diri sendiri.
Namun,langkah kerajaan itu juga mempunyai beberapa kesan buruk.Langkah mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara bermakna semakin kurang peluang untuk meneroka ilmu pengetahuan baru yang terdapat di luar negara.Kita tidak boleh menafikan bahawa negara-negara barat serta Jepun dan Korea Selatan merupakan gedung ilmu pengetahuan.Banyak ilmu pengetahuan yang terkini dan moden telah diterokai oleh sarjana di negara-negara tersebut,terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.Alangkah ruginya negara kita kerana tidak dapat memiliki dan menguasai ilmu tersebut kerana langkah yang diambil itu.Sudah pasti jika ilmu-ilmu itu dikuasai,status negara maju akan dapat dicapai dengan lebih cepat.
Selain itu,langkah kerajaan ini pasti akan memberikan kesan kepada pelajar-pelajar yang sederhana pencapaian akademiknya.Jika selama ini mereka bersaing sesama sendiri untuk memasuki institusi pengajian tinggi tempatan,tetapi sekarang mereka telah ada pesaing baru,iaitu pelajar- pelajar lebih cemerlang untuk menjadi warga kampus mereka.
Kesimpulannya,langkah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara mempunyai kesan yang baik dan sebaliknya.Kerajaan perlulah memikirkan langkah tersebut dengan sedalam-dalamnya supaya tindakan itu tidak merugikan negara pada masa hadapan.Langkah tersebut dalam jangka masa pendek memang menguntungkan,tetapi dalam jangka masa panjang,langkah itu pasti sedikit banyak akan memberikan kesan kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.
thank you so much,,it helped me alot..:)
ReplyDelete