Friday, 11 November 2011

SASTERA TRADISIONAL WARISAN BANGSA

           
                 Masyarakat hari ini begitu ghairah memburu kejayaan.Kejayaan demi kejayaan diraih sebagai lambang kegemilangan bangsa yang cuba menandingi kemajuan bangsa-bangsa lain di dunia. Kita cuba tersenyum megah denbgan kejayaan tersebut,tetapi wajarkah kita melangkah dengan mendongak ke atas tanpa  cuba menoleh ke belakang memikirkan semula sejarah dan warisan bangsa yang kelihatan begitu tersamar-samar?Umpamanya ,karya-karya sastera tradisional yang sebenarnya merupakan lambang kemegahan bangsa kurang mendapat tempat di hati masyarakat.Karya-karya ini terbahagi kepada dua jenis,iaitu prosa tradisional yang terdiri daripada cerita binatang,cerita jenaka,cerita-cerita hikayat,dan sebagainya dan juga puisi tradisional seperti pantun,syair,gurindam,seloka dan sebagainya.

                 Karya-karya sastera tradisional sebenarnya sarat dengan unsur pengajaran yang wajar dijadikan teladan dan iktibar oleh generasi masa kini.Karya-karya ini memang`tidak lapuk de hujan,tidak dek panas' kerana karya-karya seperti ini memang dinobatkan sebagai karya warisan sepanjang zaman.Biarpun zaman bertukar dan masa beredar,namun unsur isi dan unsur pengajaran yang terkandung di dalamnya tidak ketinggalan zaman.Hal ini demikian kerana sikap dan perlakuan manusia jarang-jarang berubah dan gambaran yang hampir sama boleh dilihat dalam setiap masyarakat tanpa mengira masa,zaman,ataupun tempat. Oleh yang demikian,karya-karya sastera tradisional ini wajar diterapkan ke dalam diri setiap individu dan seterusnya mencorakkan sahsiah generasi muda.

                 Sebenarnya,`jika tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya'.Usaha yang lebih komprehensif perlu dilakukan untuk mendekatkankarya-karya sastera tradisional ini kepada masyarakat.Tidak semua orang mengenali karya-karya tradisional seperti guridam,seloka,nazam dan sebagainya jika pihak yang berpengetahuan dan berkemahiran tidak tampil ke depan untuk memperkenalkan setiap karya dengan lebih menyeluruh.Seterusnya,setakat kenal sahaja tidak mencukupi,tetapi inisiatif agar masyarakat memahami dan menghayati karya-karya ini perlu dilaksanakan.Umpamanya,bantuan boleh dihulurkan oleh sasterawan-sasterawan terkenal tanah air,di samping persatuan-persatuan penulis untuk mengetengahkan karya-karya ini ke pangkuan masyarakat.Pertunjukan atau persembahan bulanan karya-karya ini boleh dilakukan di pentas-pentas terbuka ataupun semasa diadakan pesta atau konsert.

                 Ada pihak yang telah menjalankan kerja -kerja penulisan semula karya-karya satera tradisional ini sejak dahulu lagi.Umpamanya,karya-karya prosa tradisional seperti Sejarah Tanah Melayu,Hikayat Awang Sulung Merah Muda,cerita -cerita binatang,cerita-cerita jenaka dan sebagainya telah dibukukan.Malangnya berapa ramaikah anatara kita yang menyimpan karya- karya agung ini dan meletakkanya di ruang buku kita?Anak-anak kita lebih menghargai Doraemon daripada Pak Kaduk,Pak Pandir mahupun Hang Tuah sendiri sedangkan watak-watak seperti Hang Tuah merupakan lambang kemegahan bangsa yang tiada tolok bandingannya.Publisiti meluas dan promosi secara besar-besaran boleh membawa karya-karya sastera tradisional ini kepada masyarakat.Langkah ini  boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

                 Di samping itu, kerja -kerja penyelidikan dan kajian secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap karya-karya sastera ini. Pemahaman dan penghayatan karya sastera adalah lebih jelas dan sempurna dengan ini.Masyarakat akan membuka minda dan ruang kehidupan mereka untuk melihat karya-karya ini sebagai karya agung sepanjang zaman tanpa mengetepikan arus pembangunan.Akhirnya,minat dan kecenderungan masyarakat semakin terserlah dan penghargaan terhadap karya -karya ini lahir daripada hati nurani mereka terpaksa.Generasi yang datang akan mendapat manfaat dan memikul mandaat untuk meneruskan tradisi bangsa turun-temurun.

                Kesimpulannya,walaupun zaman semakin maju dan canggih, namum karya-karya sastera tradisional tidak wajar diketepikan.Ruang yang istimewa perlu untuk menempatkan karya-karya ini agar sentiasa dihargai dan menjadi sanjungan masyarakat.Hal ini demikian kerana karya-karya ini juga merupakan sebahagian daripada sejarah bangsa yang wajar dijadikan panduan dan pengajaran buat kita.Karya-karya ini sesungguhnya menjadi lambang kesinambungan kewujudan bagsa yang bernaruah dan berprestij untuk selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment