Tuesday, 6 December 2011

REMAJA MENCAPAI KEJAYAAN

           Pepatah `bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian' menggambarkan bahawa setiap kejayaan memerlukan pengorbanan. Pelbagai rintangan dan halangan yang perlu dilalui oleh setiap individu yang menginginkan kejayaan. Sebagai contohnya ialah seorang petani yang sanggup berpanas menanam sawah padi, membajak sawah padi sebelum mendapatkan hasilnya sebagai beras. Sikap seperti ini seharusnya ada dalam diri setiap individu sama ada remaja mahupun masyarakat. Persoalannya, adakah remaja pada hari ini mengetahui langkah untuk mencapai kejayaan pada masa depan mereka?  
 
          Terdapat banyak langkah yang boleh dipratikkan oleh remaja untuk mencapai kejayaan.Salah satu langkah untuk remaja mencapai kejayaan ialah remaja perlu mengenal pasti cita-cita sebenar mereka. Sebelum mempelajari dan menguasai suatu bidang, remaja perlu memastikan minat mereka terhadap bidang  tersebut. Bak kata pepatah " tak kenal, maka tak cinta". Oleh yang demikian, remaja perlu mengenal pasti impian mereka ceburi agar mereka dapat cintakan ilmu tersebut.  
 
           Selain itu, remaja juga perlu mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Remaja perlu menghormati ibu bapa, orang yang lebih tua daripada mereka serta rakan sebaya. Sekiranya terdapat masa lapang yang terluang, remaja haruslah melibatkan  diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak di luar sekolah. Remaja juga perlulah kerap bersembahyang kerana Tuhan selalunya akan membantu orang yang mengingati-Nya.
 
           Bukan itu sahaja malah remaja juga perlu sentiasa menjaga hati ibu bapa  mereka dengan membantu mereka melakukan kerja-kerja  rumah. Remaja perlu meminta maaf terhadap ibu bapa sekiranya mereka melawan cakap dan menyakiti hati mereka.Remaja perlulah ingat bahawa,melawan cakap dan menyakiti hati ibu bapa adalah satu perbuatan yang berdosa .Oleh itu, remaja perlu menjaga hati ibu bapa masing-masing agar  mereka  mudah menimba ilmu.  
 
           Di samping itu,remaja perlu mendapatkan bimbingan dan kaunseling sekiranya menghadapi masalah seperti masalah keluarga,rakan sebaya dan masalah pemilihan bidang yang ingin diceburi.Janganlah malu untuk bertanya kepada orang yang sepatutnya seperti guru kaunseling sekolah mahupun guru-guru dan ibu bapa bak kata pepatah "bertanya pada yang tahu, meminta pada yang ada".Oleh yang demikian, remaja perlu berani untuk menghadapi masalah dan bijak menyelesaikannya.  
 
           Seterusnya, remaja perlu mematuhi peraturan dan undang-undang bukan sahaja di sekolah malah di luar sekolah juga. Sekiranya pihak sekolah melarang para pelajar menghisap rokok maka janganlah melanggar peraturan tersebut. Setiap peraturan yang dibuat pasti ada hikmahnya. Oleh itu, patuhilah peraturan demi kebaikan diri pada masa hadapan.  
 
           Kesimpulannya, pelbagai langkah boleh dilakukan oleh remaja untuk mencapai kejayaan bak kata pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Remaja perlu berusaha sebaik mungkin untuk berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

1 comment: