Tuesday, 6 December 2011

KEBAIKAN MEMBELI BARANG TEMPATAN

            Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Peribahasa ini jelas menggambarkan betapa kita sebagai rakyat negara yang tercinta ini haruslah menyokong segala aktiviti yang boleh membantu negara. Antaranya ialah rakyat mestilah menyokong produk tempatan. Sudah tiba masanya bagi rakyat kita untuk tidak lagi mengagungkan barangan luar barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dengan ini muncul satu persoalan yang menuntut jawaban ; apakah kebaikan membeli barangan buatan tempatan?

           Antara kebaikan membeli barangan tempatan ialah menjimatkan perbelanjaan keluarga. Menurut laporan yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , faktor perdana yang menyumbang masyarakat lebih gemar mengagung-agungkan barangan import biarpun harganya mahal ialah mereka beranggapan bahawa barangan import lebih berkualiti. Pada hemat masyarakat, barangan yang harganya lebih murah biasanya tidak berkualiti, manakala barangan yang mahal pasti berkualiti tinggi. Masyarakat kini seyogianya memantapkan pemahaman dan menstabilkan tanggapan terhadap kualiti barangan tempatan biarpun harganya jauh lebih murah. Misalnya, pengiktirafan ISO 9001 kepada jenama-jenama tempatan membuktikan kualiti barangan tempatan sekarang sudah setaraf dengan jenama antarabangsa. Oleh sebab itu, dengan membeli barangan tempatan perbelanjaan keluarga dapat dikurangkan kerana produk tempatan tidak dikenakan cukai yang banyak.  
 
          Selain menjimatkan perbelanjaan keluarga, kebaikan seterusnya ialah meningkatkan imej negara. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui pembelian barangan tempatan, kita dapat mempromosikan jenama tempatan di mata dunia. Cuba kita bayangkan dan imaginasikan satu hari sekiranya kita melihat kenderaan jenama tempatan seperti Perodua, Proton, dan Modenas memenuhi jalan-jalan raya di luar negara. Bagaimana pula jika hak penyiaran animasi animasi karya studio tempatan seperti Upin dan Ipin, Usop Sontorian, Keluang Man, dan Kampung Boy dibeli dan ditayangkan secara ekstensif dan eksklusif oleh syarikat penyiaran terkenal seperti NHK TV, TBS, BBC dan SKY TV. Sudah pasti nama negara akan menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia. Dengan keadaan sedemikian, benarlah kebaikan membeli barangan tempatan adalah meningkatkan imej negara.  
 
          Pada waktu yang sama, pembelian barangan tempatan turut membawa kebaikan memajukan industri tempatan selain meningkatkan imej negara. Hal ini berlaku demikian kerana dengan pembelian barangan tempatan secara meluas, pengusaha-pengusaha tempatan mampu mendapatkan maklum    balas daripada orang ramai mengenai kelemahan dan kekurangan produk yang dikeluarkan oleh mereka. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi komen menerusi laman sesawang mahupun tinjauan dengan turun padang sendiri mendengar kritikan pengguna. Hal ini akan menjadi teras penggerak perkembangan industri bagi menghasilkan produk yang lebih artistik, futuristik, dan tinggi nilai estetik bagi keselesaan pengguna. Natijahnya, benarlah kebaikan yang dibawa oleh pembelian barangan tempatan turut merangkumi memajukan industri tempatan.  
 
                Sebagai penghias bicara akhir, rakyat Malaysia haruslah menyahut seruan kerajaan menerusi kempen yang dianjurkan seperti “Belilah Barangan Buatan Malaysia” dengan memberikan sepenuh galakan dan sokongan serta memberikan peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dan menempah nama dalam pasaran global. Pengusaha industri tempatan pula janganlah sentiasa berada di takuk lama dan tidak mahu melakukan perubahan biarpun dunia semakin maju persis peribahasa “ibarat sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor jua”. Mereka juga seyogianya menerima kritikan dan komen yang dilemparkan kerana seorang cendekiawan Arab pernah berkata “Keji itu ibarat baja, makin ditabur makin subur,” tambahan pula sasterawan Cina juga pernah menyatakan “Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik”. Dengan ini besarlah harapan saya agar lebih ramai rakyat membeli barangan tempatan kerana sesungguhnya banyak faedah dan manfaat yang boleh diperoleh menerusiny

7 comments: