Wednesday, 7 December 2011

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN MEMILIKI TELEFON BIMBIT

       Pada zaman serba moden ini, telefon bimbit melalui pelbagai reka bentuk. Pada awalnya, telefon bimbit agak berat dan besar tetapi kini, telefon bimbit semakin kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Bukan sahaja orang yang bekerja, malah remaja juga kini ramai yang memiliki telefon bimbit. Di sini, saya akan membincangkan tentang kebaikan dan keburukan memiliki telefon bimbit.  
 
        Terdapat tiga kebaikan penggunaan telefon bimbit. Pertama sekali, penggunaan telefon bimbit memudahkan remaja untuk menghubungi keluarga di mana sahaja mereka berada. Contohnya, pada waktu kecemasan, kita dengan mudah boleh meminta bantuan daripada ahli keluarga. Kita juga boleh memberitahu ibu atau bapa jikalau perlu pulang lewat agar mereka tidak rasa bimbang akan keselamatan anak-anaknya.  
 
       Kebaikan yang keduayang boleh didapati daripada penggunaan telefon bimbit adalah tentang memuat turunkan maklumat yang penting dengan menggunakan teknologi 'bluetooth'. Kita juga boleh melayari internet di telefon bimbit tersebut dan menyimpan data-data dengan mudah untuk menyelesaikan sesuatu projek.  
 
      Merapatkan hubungan persahabatan dengan rakan yang berada jauh di rantauan adalah kebaikan yang ketiga. Telefon bimbit 3G yang terkini, membolehkan kami membuat panggilan video dengan rakan di luar negeri. Teknologi sebegini membenarkan kami berbual sambil melihat wajah pemanggil, dan ini boleh mengubati perasaan yang rindu terhadap dirinya.  
 
      Di sebalik kebaikan yang telah disebutkan tadi, ada juga beberapa keburukan yang perlu diingatkan.  Yang pertama, jika kita tidak tahu mengawal kos, penggunaan telefon bimbit boleh mencapai sehingga ribuan ringgit. Contohnya, kos membuat panggilan video agak mahal jika kita terlalu asyik berbual sehingga tidak sedari masa yang terlalu lama bergantung di telefon bimbit.  
 
     Selain itu, remaja-remaja sekarang juga saling bersaing untuk memiliki model telefon yang terkini. Setiap kali, ibu bapalah yang mengeluarkan duit untuk mencapai keinginan remaja yang mahu memiliki telefon bimbit. Bagi orang yang berkemampuan sederhana, ini menjadi suatu bebanan untuk memaksa diri memiliki benda yang tidak mampu mereka beli. Yang penting sekali ialah ini memupuk persaingan yang kurang sihat. Kita patut bersyukur terhadap apa yang kita ada.  
 
    Yang akhir ialah dikhuatiri pelajar meniru melalui khidmat pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai `SMS' bersama kawan-kawan di dalam dewan peperiksaan. Kemudahan teknologi yang membantu dalam kehidupan tetap boleh membantu orang untuk membuat kejahatan, seperti mendorong sesetengah pelajar untuk menipu.  
 
    Kesimpulannya, pelajar boleh memiliki telefon bimbit tetapi sebaiknya tidak dibenarkan untuk membawanya ke sekolah kerana di sekolahlah tempat untuk mereka menimba ilmu dan bukan untuk tunjuk-menunjuk telefon bimbit masing-masing. Telefon bimbit jika digunakan dengan sebaik mungkin boleh memudahkan kehidupan dan sekiranya digunakan dengan cara yang negatif ,ia boleh memakan diri sendiri. 

No comments:

Post a Comment