Wednesday, 7 December 2011

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN MEMILIKI TELEFON BIMBIT

       Pada zaman serba moden ini, telefon bimbit melalui pelbagai reka bentuk. Pada awalnya, telefon bimbit agak berat dan besar tetapi kini, telefon bimbit semakin kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Bukan sahaja orang yang bekerja, malah remaja juga kini ramai yang memiliki telefon bimbit. Di sini, saya akan membincangkan tentang kebaikan dan keburukan memiliki telefon bimbit.  
 
        Terdapat tiga kebaikan penggunaan telefon bimbit. Pertama sekali, penggunaan telefon bimbit memudahkan remaja untuk menghubungi keluarga di mana sahaja mereka berada. Contohnya, pada waktu kecemasan, kita dengan mudah boleh meminta bantuan daripada ahli keluarga. Kita juga boleh memberitahu ibu atau bapa jikalau perlu pulang lewat agar mereka tidak rasa bimbang akan keselamatan anak-anaknya.  
 
       Kebaikan yang keduayang boleh didapati daripada penggunaan telefon bimbit adalah tentang memuat turunkan maklumat yang penting dengan menggunakan teknologi 'bluetooth'. Kita juga boleh melayari internet di telefon bimbit tersebut dan menyimpan data-data dengan mudah untuk menyelesaikan sesuatu projek.  
 
      Merapatkan hubungan persahabatan dengan rakan yang berada jauh di rantauan adalah kebaikan yang ketiga. Telefon bimbit 3G yang terkini, membolehkan kami membuat panggilan video dengan rakan di luar negeri. Teknologi sebegini membenarkan kami berbual sambil melihat wajah pemanggil, dan ini boleh mengubati perasaan yang rindu terhadap dirinya.  
 
      Di sebalik kebaikan yang telah disebutkan tadi, ada juga beberapa keburukan yang perlu diingatkan.  Yang pertama, jika kita tidak tahu mengawal kos, penggunaan telefon bimbit boleh mencapai sehingga ribuan ringgit. Contohnya, kos membuat panggilan video agak mahal jika kita terlalu asyik berbual sehingga tidak sedari masa yang terlalu lama bergantung di telefon bimbit.  
 
     Selain itu, remaja-remaja sekarang juga saling bersaing untuk memiliki model telefon yang terkini. Setiap kali, ibu bapalah yang mengeluarkan duit untuk mencapai keinginan remaja yang mahu memiliki telefon bimbit. Bagi orang yang berkemampuan sederhana, ini menjadi suatu bebanan untuk memaksa diri memiliki benda yang tidak mampu mereka beli. Yang penting sekali ialah ini memupuk persaingan yang kurang sihat. Kita patut bersyukur terhadap apa yang kita ada.  
 
    Yang akhir ialah dikhuatiri pelajar meniru melalui khidmat pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai `SMS' bersama kawan-kawan di dalam dewan peperiksaan. Kemudahan teknologi yang membantu dalam kehidupan tetap boleh membantu orang untuk membuat kejahatan, seperti mendorong sesetengah pelajar untuk menipu.  
 
    Kesimpulannya, pelajar boleh memiliki telefon bimbit tetapi sebaiknya tidak dibenarkan untuk membawanya ke sekolah kerana di sekolahlah tempat untuk mereka menimba ilmu dan bukan untuk tunjuk-menunjuk telefon bimbit masing-masing. Telefon bimbit jika digunakan dengan sebaik mungkin boleh memudahkan kehidupan dan sekiranya digunakan dengan cara yang negatif ,ia boleh memakan diri sendiri. 

Tuesday, 6 December 2011

KEBAIKAN MEMBELI BARANG TEMPATAN

            Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Peribahasa ini jelas menggambarkan betapa kita sebagai rakyat negara yang tercinta ini haruslah menyokong segala aktiviti yang boleh membantu negara. Antaranya ialah rakyat mestilah menyokong produk tempatan. Sudah tiba masanya bagi rakyat kita untuk tidak lagi mengagungkan barangan luar barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dengan ini muncul satu persoalan yang menuntut jawaban ; apakah kebaikan membeli barangan buatan tempatan?

           Antara kebaikan membeli barangan tempatan ialah menjimatkan perbelanjaan keluarga. Menurut laporan yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , faktor perdana yang menyumbang masyarakat lebih gemar mengagung-agungkan barangan import biarpun harganya mahal ialah mereka beranggapan bahawa barangan import lebih berkualiti. Pada hemat masyarakat, barangan yang harganya lebih murah biasanya tidak berkualiti, manakala barangan yang mahal pasti berkualiti tinggi. Masyarakat kini seyogianya memantapkan pemahaman dan menstabilkan tanggapan terhadap kualiti barangan tempatan biarpun harganya jauh lebih murah. Misalnya, pengiktirafan ISO 9001 kepada jenama-jenama tempatan membuktikan kualiti barangan tempatan sekarang sudah setaraf dengan jenama antarabangsa. Oleh sebab itu, dengan membeli barangan tempatan perbelanjaan keluarga dapat dikurangkan kerana produk tempatan tidak dikenakan cukai yang banyak.  
 
          Selain menjimatkan perbelanjaan keluarga, kebaikan seterusnya ialah meningkatkan imej negara. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui pembelian barangan tempatan, kita dapat mempromosikan jenama tempatan di mata dunia. Cuba kita bayangkan dan imaginasikan satu hari sekiranya kita melihat kenderaan jenama tempatan seperti Perodua, Proton, dan Modenas memenuhi jalan-jalan raya di luar negara. Bagaimana pula jika hak penyiaran animasi animasi karya studio tempatan seperti Upin dan Ipin, Usop Sontorian, Keluang Man, dan Kampung Boy dibeli dan ditayangkan secara ekstensif dan eksklusif oleh syarikat penyiaran terkenal seperti NHK TV, TBS, BBC dan SKY TV. Sudah pasti nama negara akan menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia. Dengan keadaan sedemikian, benarlah kebaikan membeli barangan tempatan adalah meningkatkan imej negara.  
 
          Pada waktu yang sama, pembelian barangan tempatan turut membawa kebaikan memajukan industri tempatan selain meningkatkan imej negara. Hal ini berlaku demikian kerana dengan pembelian barangan tempatan secara meluas, pengusaha-pengusaha tempatan mampu mendapatkan maklum    balas daripada orang ramai mengenai kelemahan dan kekurangan produk yang dikeluarkan oleh mereka. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi komen menerusi laman sesawang mahupun tinjauan dengan turun padang sendiri mendengar kritikan pengguna. Hal ini akan menjadi teras penggerak perkembangan industri bagi menghasilkan produk yang lebih artistik, futuristik, dan tinggi nilai estetik bagi keselesaan pengguna. Natijahnya, benarlah kebaikan yang dibawa oleh pembelian barangan tempatan turut merangkumi memajukan industri tempatan.  
 
                Sebagai penghias bicara akhir, rakyat Malaysia haruslah menyahut seruan kerajaan menerusi kempen yang dianjurkan seperti “Belilah Barangan Buatan Malaysia” dengan memberikan sepenuh galakan dan sokongan serta memberikan peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dan menempah nama dalam pasaran global. Pengusaha industri tempatan pula janganlah sentiasa berada di takuk lama dan tidak mahu melakukan perubahan biarpun dunia semakin maju persis peribahasa “ibarat sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor jua”. Mereka juga seyogianya menerima kritikan dan komen yang dilemparkan kerana seorang cendekiawan Arab pernah berkata “Keji itu ibarat baja, makin ditabur makin subur,” tambahan pula sasterawan Cina juga pernah menyatakan “Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik”. Dengan ini besarlah harapan saya agar lebih ramai rakyat membeli barangan tempatan kerana sesungguhnya banyak faedah dan manfaat yang boleh diperoleh menerusiny

REMAJA MENCAPAI KEJAYAAN

           Pepatah `bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian' menggambarkan bahawa setiap kejayaan memerlukan pengorbanan. Pelbagai rintangan dan halangan yang perlu dilalui oleh setiap individu yang menginginkan kejayaan. Sebagai contohnya ialah seorang petani yang sanggup berpanas menanam sawah padi, membajak sawah padi sebelum mendapatkan hasilnya sebagai beras. Sikap seperti ini seharusnya ada dalam diri setiap individu sama ada remaja mahupun masyarakat. Persoalannya, adakah remaja pada hari ini mengetahui langkah untuk mencapai kejayaan pada masa depan mereka?  
 
          Terdapat banyak langkah yang boleh dipratikkan oleh remaja untuk mencapai kejayaan.Salah satu langkah untuk remaja mencapai kejayaan ialah remaja perlu mengenal pasti cita-cita sebenar mereka. Sebelum mempelajari dan menguasai suatu bidang, remaja perlu memastikan minat mereka terhadap bidang  tersebut. Bak kata pepatah " tak kenal, maka tak cinta". Oleh yang demikian, remaja perlu mengenal pasti impian mereka ceburi agar mereka dapat cintakan ilmu tersebut.  
 
           Selain itu, remaja juga perlu mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Remaja perlu menghormati ibu bapa, orang yang lebih tua daripada mereka serta rakan sebaya. Sekiranya terdapat masa lapang yang terluang, remaja haruslah melibatkan  diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak di luar sekolah. Remaja juga perlulah kerap bersembahyang kerana Tuhan selalunya akan membantu orang yang mengingati-Nya.
 
           Bukan itu sahaja malah remaja juga perlu sentiasa menjaga hati ibu bapa  mereka dengan membantu mereka melakukan kerja-kerja  rumah. Remaja perlu meminta maaf terhadap ibu bapa sekiranya mereka melawan cakap dan menyakiti hati mereka.Remaja perlulah ingat bahawa,melawan cakap dan menyakiti hati ibu bapa adalah satu perbuatan yang berdosa .Oleh itu, remaja perlu menjaga hati ibu bapa masing-masing agar  mereka  mudah menimba ilmu.  
 
           Di samping itu,remaja perlu mendapatkan bimbingan dan kaunseling sekiranya menghadapi masalah seperti masalah keluarga,rakan sebaya dan masalah pemilihan bidang yang ingin diceburi.Janganlah malu untuk bertanya kepada orang yang sepatutnya seperti guru kaunseling sekolah mahupun guru-guru dan ibu bapa bak kata pepatah "bertanya pada yang tahu, meminta pada yang ada".Oleh yang demikian, remaja perlu berani untuk menghadapi masalah dan bijak menyelesaikannya.  
 
           Seterusnya, remaja perlu mematuhi peraturan dan undang-undang bukan sahaja di sekolah malah di luar sekolah juga. Sekiranya pihak sekolah melarang para pelajar menghisap rokok maka janganlah melanggar peraturan tersebut. Setiap peraturan yang dibuat pasti ada hikmahnya. Oleh itu, patuhilah peraturan demi kebaikan diri pada masa hadapan.  
 
           Kesimpulannya, pelbagai langkah boleh dilakukan oleh remaja untuk mencapai kejayaan bak kata pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Remaja perlu berusaha sebaik mungkin untuk berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

Saturday, 3 December 2011

GANGSTERISME

            Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja pada masa kini.Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar dalam akademik malah boleh menganggu perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara..Kegiatan gengsterisme ini perlu ditangani secara serius kerana gengsterisme boleh mempengaruhi remaja untuk membabitkan diri dalam kegiatan lain seperti menagih dadah, menghisap rokok,ketagihan alkohol dan lain-lain.

            Salah satu faktor yang menyumbangkan kepada kegiatan gengsterisme ialah ibu bapa kurang memberi perhatian kepada anak-anak mereka.Arus pemodenan yang  berkembang dengan pesat sekali di dalam negara adalah penting untuk meningkat taraf kehidupan rakyat tetapi sesetengah ibu bapa lebih cenderung untuk mengumpul kekayaan dan bekerja hingga lewat malam menyebabkan anak-anak mereka ini terabai dan tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja  dari pagi hingga ke malam untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan hidup.Maka ini menyebabkan anak-anak mereka berasa diri mereka tidak sayangi dan ini menyebabkan mereka terjebak dalam kegiatan negatif ini.

            Selain itu,pengaruh daripada rakan sebaya juga menjadi punca kegiatan gengsterisme menular di kalangan remaja.Rakan sebaya merupakan teman yang paling rapat dalam kehidupan seseorang remaja.Kesilapan bergaul dengan rakan-rakan yang salah boleh menyebabkan seseorang remaja terjebak ke gejala sosial.Disamping itu,pengaruh yang kuat daripada rakan-rakan akan menyebabkan sebilangan besar pelajar diambil menjadi ahli kumpulan geng.Aktiviti mereka yang bersifat memberontak seperti merosakkan harta benda sekolah dan awam, menghisap rokok dan lain-lain lagi.Oleh itu,remaja haruslah pandai memilih kawan supaya dapat mengekalkan kehidupan yang betul dan tidak terjebak dalam gejala sosial

            Selain tu,media massa turut memainkan perana yang penting dalam mempengaruhi pergerakan remaja.Aksi,pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di televisyen menjadi ikutan para remaja sehingga pelakon tersebut menjadi`role model' bagi golongan remaja.Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung. Hal ini kerana,walaupun diakui media massa  merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penonton tetapi pada waktu yang sama ia boleh membawa penonton ke jalan yang salah terutamanya dikalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.

             Kurang didikan agama turut mendorong kepada peningkatan aktiviti gengsterisme.Sekiranya didikan agama kukuh di dalam diri individu,maka secara langsung ia boleh mengelakkan remaja tersebut daripada terjebak dalam kegiatan gengsterisme ini.Keluarga yang kurang didikan agama juga boleh menyebabkan anak remaja mereka mereka tidak mengetahui tentang nilai keagamaan serta pembentukan akhlak yang baik dan ini menyebabkan mereka terperangkap dalam kegiatan gengsterisme.

            Kesimpulannya,remaja adalah kempulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara.Mereka adalah aset kekayaan negara yang memegang peranan penting dalam pembangunan negara.Maka,semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.Demi mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan,langkah-langkah drastik haruslah dilaksanakan oleh semua pihak.Sama-samalah kita berganding bahu untuk menangani masalah ini.

Thursday, 1 December 2011

KEPENTINGAN MEMBACA BUKU

         Membaca ialah satu aktiviti yang mendatangkan pelbagai faedah kepada pembaca.Amalan membaca boleh didefinisikan sebagai satu aktiviti yang berfaedah,iaitu membolehkan seseorang itu mengetahui isi kandungan sesebuah buku,surat khabar dan lain-lain lagi.Membaca membolehkan individu mengetahui dan mengenali perkara-perkara yang berlaku di dunia ini.Sasterawan negara terkenal,iaitu,A.Samad Said  pernah mengatakan bahawa membaca diibaratkan sebagai kunci kepada gedung ilmu.Oleh itu,minat membaca haruslah dipupuk di kalangan masyarakat sejak awal lagi.

          Membaca merupakan jambatan ilmu.Dengan membaca,kita akan memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.Oleh itu,semakin banyak yang baca dan pelajari,semakin tinggilah ilmu yang akan kita perolehi. dan semakin banyak perkara yang boleh kita fahami.Ingin saya katakan,bangsa yang mempunyai ilmu yang tinggi,akan dihormati dan disanjungi oleh orang ramai.Oleh itu,janganlah kita membazirkan masa yang emas ini dengan membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak,merokok dan lain-lain lagi.

          Amalan membaca juga antara faktor kejayaan seseorang.Untuk pengetahuan anda, pelajar cemerlang SPM iaitu,Amalina,dikenali dan digelari sebagai perpustakaan bergerak.Hal ini kerana,dia sentiasa membawa buku ke mana sahaja dia pergi dan sentiasa menggunakan masa terluang yang ada  dengan membaca buku.
Menurut kajian  yang dilakukan oleh pakar,90% orang yang ingin membaca mampu untuk menguasai ilmu akademik dan 50% mengakui yang mereka dapat menjawab semua soalan peperiksan.Maka,tidak dapat dinafikan bahawa amalan membaca ialah resepi untuk orang berjaya.

           Kita juga dapat mengisi masa lapang dengan baik apabila membaca.Bahan bacaan juga tidak sepatutnya terhad kepada buku teks sahaja tetapi,surat khabar dan majalah juga boleh dijadikan sebagai bahan bacaan.Masa yang terluang boleh digunakan oleh remaja-remaja untuk membaca dan ini dapat mengelakkan remaja daripada terjebak kepada gejala sosial.Membaca mampu melahirkan modal insanyang berguna seperti yang diingini oleh negara.

            Membaca juga membolehkan kita mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di negara dan di luar negara.Dalam  era globalisasi ini, kita boleh mengetahui pelbagai isu yang terdapat di dunia ini dengan melayari internet dan membaca surat khabar.Amat penting untuk kita mengikuti perkembangan yang berlaku di dalam dan di luar negara.Isu-isu seperti bencana alam,peperangan dan lain-lain lagi merupakan isu yang boleh kita perolehi melalui membaca.Kesimpulannya,membaca dan mengetahui isu-isu semasa membolehkan kita tidak akan mudah ditipu pleh orang lain kerana sentiasa mengikuti perkembangan semasa.

             Kesimpulannya,membaca merupakan satu aktiviti yang mempunyai seribu kabaikan.Ada pepatah melayu,mengatakan`ilmu itu lebih berharga daripada emas dan harta'.Aktiviti membaca mampu menjamin masa depan yang cemerlang dan menampilkan imej yang tinggi di kalangan masyarakat.Oleh itu,saya menyeru orang ramai tanpa mengira agama agar manfaatkan masa yang terluang dengan membaca.

Friday, 11 November 2011

SASTERA TRADISIONAL WARISAN BANGSA

           
                 Masyarakat hari ini begitu ghairah memburu kejayaan.Kejayaan demi kejayaan diraih sebagai lambang kegemilangan bangsa yang cuba menandingi kemajuan bangsa-bangsa lain di dunia. Kita cuba tersenyum megah denbgan kejayaan tersebut,tetapi wajarkah kita melangkah dengan mendongak ke atas tanpa  cuba menoleh ke belakang memikirkan semula sejarah dan warisan bangsa yang kelihatan begitu tersamar-samar?Umpamanya ,karya-karya sastera tradisional yang sebenarnya merupakan lambang kemegahan bangsa kurang mendapat tempat di hati masyarakat.Karya-karya ini terbahagi kepada dua jenis,iaitu prosa tradisional yang terdiri daripada cerita binatang,cerita jenaka,cerita-cerita hikayat,dan sebagainya dan juga puisi tradisional seperti pantun,syair,gurindam,seloka dan sebagainya.

                 Karya-karya sastera tradisional sebenarnya sarat dengan unsur pengajaran yang wajar dijadikan teladan dan iktibar oleh generasi masa kini.Karya-karya ini memang`tidak lapuk de hujan,tidak dek panas' kerana karya-karya seperti ini memang dinobatkan sebagai karya warisan sepanjang zaman.Biarpun zaman bertukar dan masa beredar,namun unsur isi dan unsur pengajaran yang terkandung di dalamnya tidak ketinggalan zaman.Hal ini demikian kerana sikap dan perlakuan manusia jarang-jarang berubah dan gambaran yang hampir sama boleh dilihat dalam setiap masyarakat tanpa mengira masa,zaman,ataupun tempat. Oleh yang demikian,karya-karya sastera tradisional ini wajar diterapkan ke dalam diri setiap individu dan seterusnya mencorakkan sahsiah generasi muda.

                 Sebenarnya,`jika tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya'.Usaha yang lebih komprehensif perlu dilakukan untuk mendekatkankarya-karya sastera tradisional ini kepada masyarakat.Tidak semua orang mengenali karya-karya tradisional seperti guridam,seloka,nazam dan sebagainya jika pihak yang berpengetahuan dan berkemahiran tidak tampil ke depan untuk memperkenalkan setiap karya dengan lebih menyeluruh.Seterusnya,setakat kenal sahaja tidak mencukupi,tetapi inisiatif agar masyarakat memahami dan menghayati karya-karya ini perlu dilaksanakan.Umpamanya,bantuan boleh dihulurkan oleh sasterawan-sasterawan terkenal tanah air,di samping persatuan-persatuan penulis untuk mengetengahkan karya-karya ini ke pangkuan masyarakat.Pertunjukan atau persembahan bulanan karya-karya ini boleh dilakukan di pentas-pentas terbuka ataupun semasa diadakan pesta atau konsert.

                 Ada pihak yang telah menjalankan kerja -kerja penulisan semula karya-karya satera tradisional ini sejak dahulu lagi.Umpamanya,karya-karya prosa tradisional seperti Sejarah Tanah Melayu,Hikayat Awang Sulung Merah Muda,cerita -cerita binatang,cerita-cerita jenaka dan sebagainya telah dibukukan.Malangnya berapa ramaikah anatara kita yang menyimpan karya- karya agung ini dan meletakkanya di ruang buku kita?Anak-anak kita lebih menghargai Doraemon daripada Pak Kaduk,Pak Pandir mahupun Hang Tuah sendiri sedangkan watak-watak seperti Hang Tuah merupakan lambang kemegahan bangsa yang tiada tolok bandingannya.Publisiti meluas dan promosi secara besar-besaran boleh membawa karya-karya sastera tradisional ini kepada masyarakat.Langkah ini  boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

                 Di samping itu, kerja -kerja penyelidikan dan kajian secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap karya-karya sastera ini. Pemahaman dan penghayatan karya sastera adalah lebih jelas dan sempurna dengan ini.Masyarakat akan membuka minda dan ruang kehidupan mereka untuk melihat karya-karya ini sebagai karya agung sepanjang zaman tanpa mengetepikan arus pembangunan.Akhirnya,minat dan kecenderungan masyarakat semakin terserlah dan penghargaan terhadap karya -karya ini lahir daripada hati nurani mereka terpaksa.Generasi yang datang akan mendapat manfaat dan memikul mandaat untuk meneruskan tradisi bangsa turun-temurun.

                Kesimpulannya,walaupun zaman semakin maju dan canggih, namum karya-karya sastera tradisional tidak wajar diketepikan.Ruang yang istimewa perlu untuk menempatkan karya-karya ini agar sentiasa dihargai dan menjadi sanjungan masyarakat.Hal ini demikian kerana karya-karya ini juga merupakan sebahagian daripada sejarah bangsa yang wajar dijadikan panduan dan pengajaran buat kita.Karya-karya ini sesungguhnya menjadi lambang kesinambungan kewujudan bagsa yang bernaruah dan berprestij untuk selama-lamanya.

KESAN-KESAN DARIPADA LANGKAH KERAJAAN MENGURANGKAN PENGHANTARAN PELAJAR KE LUAR NEGARA DISEBABKAN BANYAK INSTITUT IPTA DAN IPTS.

                Pada masa ini,peluang untuk rakyat negara ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terbuka lebih luas.Keadaan ini wujud kerana semakin banyak institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditubuhkan oleh kerajaan.Kerajaan juga menggalakkan pihak-pihak swasta menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta(IPTS).Galakan kerajaan itu menyebabkan banyak ipts wujud di negara kita bagai cendawan turun selepas hujan.Faktor ini mendorong kerajaan untuk menngurangkan penghantaran pelajar ke luar negara.Tidak dinafikan bahawa langkah kerajaan ini menimbulkan beberapa kesan baik dan kesan buruk.

                Oleh sebab negara kita masih belum pulih sepenuhnya daripada kegawatan ekonomi yang berlaku sejak penghujung tahun 1997,langkah yang diambil ini sekurang-kurangnya dapat membantu kerajaan menjimatkan wang.Kita sedia maklum,kos pembelajaran di luar negara bukannya murah.Bagi setiap pelajar,kerajaan perlu menanggung kos pengajian dan sara hidup sehinggalah pelajar itu menamatkan pengajiannya.Dianggarkan kos untuk membiayai seorang pelajar di luar negara adalah sama dengan kos yang dibelanjakan untuk membiayai lima orang pelajar di dalam negara.Kerajaan mengalami kerugian sekiranya membiarkan wang mengalir ke luar negara atas perkara yang boleh didapati di negara sendiri.

               Sekiranya institusi pengajian tinggi di luar negara mengalami  kerugian akibat tindakan kerajaan itu,namun pada masa yang sama ,institusi pengajian tinggi tempatan akan mendapat keuntungan.Keuntungan itu bukanlah dari segi kewangan.Keuntungan itu didapati kerana institusi pengajian tinggi tempatan akan menerima kemasukan ramai pelajar yang cemerlang.Kecemerlangan pelajar-pelajar itu pasti dapat membantu institusi pengajian tinggi meningkatkan mutu pencapaian,terutamanya dari segi akademiknya.Tenaga pengajar juga pasti akan berusaha meningkatkan kepakaran dan pengetahuan mereka sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang cemerlang.Akhirnya,imej institusi pengajian tinggi tempatan pasti akan menjulang tinggi di peringkat antarabangsa.
 
                Pada masa ini,negara kita berhadapan dengan pelbagai masalah sosial di kalangan golongan muda.Banyak pihak mempersalahkan unsur-unsur negatif dari luar negara yang menyebabkan masalah ini timbul.Oleh itu,langkah kerajaan ini dapat dilihat sebagai satu usaha untuk mengelakkan golongan muda negara kita darida terjebak dengan unsur-unsur negatif yang terdapat di luar negara.Unsur-unsur itu,sama ada dari segi pemikiran,budaya,atau politik.Kita tidak dapat menafikan bahawa mereka yang terpilih untuk dihantar ke luar negara memiliki prestasi yang cemerlang dari segi akademik.Namun,kita juga perlu ingat bahawa mereka masih muda dan belum matang lagi untuk berfikir.Kedua-dua aspek ini akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh merugikan diri sendiri.

                 Namun,langkah kerajaan itu juga mempunyai beberapa kesan buruk.Langkah mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara bermakna semakin kurang peluang untuk meneroka ilmu pengetahuan baru yang terdapat di luar negara.Kita tidak boleh menafikan bahawa negara-negara barat serta Jepun dan Korea Selatan merupakan gedung ilmu pengetahuan.Banyak ilmu pengetahuan yang terkini dan moden telah diterokai oleh sarjana di negara-negara tersebut,terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.Alangkah ruginya negara kita kerana tidak dapat memiliki dan menguasai ilmu tersebut kerana langkah yang diambil itu.Sudah pasti jika ilmu-ilmu itu dikuasai,status negara maju akan dapat dicapai dengan lebih cepat.

                  Selain itu,langkah kerajaan ini pasti akan memberikan kesan kepada pelajar-pelajar yang sederhana pencapaian akademiknya.Jika selama ini mereka bersaing sesama sendiri untuk memasuki institusi pengajian tinggi tempatan,tetapi sekarang mereka telah ada pesaing baru,iaitu pelajar- pelajar lebih cemerlang untuk menjadi warga kampus mereka.

                 Kesimpulannya,langkah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara mempunyai kesan yang baik dan sebaliknya.Kerajaan perlulah memikirkan langkah tersebut dengan sedalam-dalamnya supaya tindakan itu tidak merugikan negara pada masa hadapan.Langkah tersebut dalam jangka masa pendek memang menguntungkan,tetapi dalam jangka masa panjang,langkah itu pasti sedikit banyak akan memberikan kesan kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.